Wednesday, November 26, 2014

Kesan ibu bapa tanpa al-Quran

Menjadi ibu bapa adalah satu perjuangan yang bukan sekadar di dunia tetapi juga melangkau ke akhirat. Seruan Allah dalam al-Quran ialah untuk menjaga diri dan ahli keluarga. Bukan organisasi atau institusi. Ini disebabkan diri dan keluarga adalah ruang yang boleh kita pengaruh untuk melaksanakan kebaikan  - yang akhirnya akan terjelma dalam masyarakat.

Apabila seseorang menjadi ibu bapa, berikut ialah beberapa kesan:

Menguruskan tanggungjawab bersama anak

Nafkah anak ada fizikal, intelek, emosi dan spiritual. Kalau ia tidak ditunaikan dengan baik, ia akan memberi kesan kepada tumbesaran si anak. Ia adalah aset ,tetapi ia juga boleh menjadi liabiliti. Ia boleh menjadi sumber saham ke syurga, tetapi juga menarik ke neraka.

Menguruskan pasangan

Urusan nafkah ini akan melibatkan tanggungjawab si pasangan menguruskan dinamik sesama suami isteri. Apabila emosi si ibu atau ayah stabil, ia akan memberi kesan kepada si anak. Apabila si ayah ibu ada ilmu menguruskan fasa tumbesaran anak, ia akan memberi kesan baik.

Namun jika tanpa ilmu, perasaan dan iman yang dibajai, membesarkan si anak hanya akan berfokuskan kepada nilai fizikal sahaja. Ia akan memberi kesan negatif.

Fasa perubahan si anak 

Perubahan pada diri si anak perlu dipantau dan dididik dengan cara terbaik. Ayah ibu adalah trainer atau jurulatih terbaik dengan modul sepanjang tahun. Tanpa modul, training tersebut tidak membawa natijah yang berkesan. Modul training yang menarik dan berteraskan kepada ilmu yang mantap akan membawa natijah yang besar dalam kehidupan.

Tanpanya, si anak lahir, namun potensi si anak tinggal terkulai.