Monday, August 27, 2012

Sabar dan masa matang untuk bersyukur

Ada pelbagai kategori manusia mengikut peringkat umur.

  1. Peringkat 0-7 (ada penekanan kepada 30 bulan dalam ayat di bawah)
  2. Peringkat 7-14
  3. Peringkat 14-21
  4. Peringkat 21-40
  5. Peringkat 40-52
  6. Peringkat 52-63 atau lebih
Sebagai seorang ibu atau ayah, kita akan membesarkan anak bagi setiap peringkat tersebut. Malah dalam al-Quran, seseorang anak akan lebih menghargai si ayah atau ibunya apabila si anak mencecah 40 tahun.

Dan Kami wajibkan manusia berbuat baik kepada kedua ibu bapanya; ibunya telah mengandungnya dengan menanggung susah payah dan telah melahirkannya dengan menanggung susah payah. Sedang tempoh mengandungnya beserta dengan tempoh menceraikan susunya ialah dalam masa tiga puluh bulan. Setelah ia besar sampai ke peringkat dewasa yang sempurna kekuatannya dan sampai ke peringkat umur empat puluh tahun, berdoalah ia dengan berkata: "Wahai Tuhanku, ilhamkanlah daku supaya tetap bersyukur akan nikmatmu yang engkau kurniakan kepadaku dan kepada ibu bapaku, dan supaya aku tetap mengerjakan amal soleh yang Engkau redai; dan jadikanlah sifat-sifat kebaikan meresap masuk ke dalam jiwa zuriat keturunanku. Sesungguhnya aku bertaubat kepadamu, dan sesungguhnya aku dari orang-orang Islam (yang tunduk patuh kepadamu)". (46:15)

Ayat di atas menunjukkan kematangan seorang anak menghargai si ayat atau ibu ialah 40 tahun. Mengapa sampai usia begitu ?

Kerana sebelum 40 tahun, si ayah atau ibu bertanggungjawab mendidik si anak. Hatta apabila si anak sudah berumahtangga, mereka perlu dididik. Sebelum 40 tahun, mereka belum cukup matang. Matang untuk bersyukur. Si anak kurang 40 tahun akan banyak komplen, asyik menggerutu, marah atau mengutuk si ayah ibu yang tidak beri banyak perkara. Makin awal jauh usia dari 40 tahun, makin banyak itu berlaku. Tanda tidak matang.


Kesan kalau tidak matang

Kalau ubi yang direbus belum matang, maksudnya perlu direbus lebih lama lagi. Ia perlu diproses. Kalau si tukang masak 'marah' kepada ubi setiap masa sambil mengomel panjang pasal si ubi 'tidak matang' atau tidak masak sebelum masa yang sesuai, siapakah yang bersalah ? Siapakah yang ada masalah ? Siapakah yang kebudak-budakan? Si tukang masak itu sendiri.

Sebagai seorang ibu atau ayah, kalau asyik ingin marah atau mengomel panjang pada si anak tanpa asas kuat untuk mendidik kepada si anak kurang usia 40 tahun, meletakkan salah pada si anak adalah kurang tepat. Si ayah atau ibu perlu membina sifat matang. Banyak bersabar dengan teknik yang masih berkesan untuk mendidik. 

Apabila hilang sabar, pertolongan Allah tidak sampai. Allah bukan sahaja menolong orang yang sabar malah bersama dengan mereka. Betapa menariknya menjadi kawan kepada Allah. Ia bukan milik semua orang. Ia hanya milik mereka yang dapat bersabar.

Wahai sekalian orang-orang yang beriman! Mintalah pertolongan (untuk menghadapi susah payah dalam menyempurnakan sesuatu perintah Tuhan) dengan bersabar dan dengan (mengerjakan) sembahyang; kerana sesungguhnya Allah menyertai (menolong) orang-orang yang sabar (2:153)

Kalau si ibu atau ayah itu berusia 35 tahun dan si anak baru 12 tahun, kita akan nampak amat mencabar. Si ayah atau ibu masih 'belum matang' dan si anak kecil juga belum matang. Apa akan jadi kalau tidak mempunyai sifat sabar? Akan berlakulah pelbagai insiden yang mencederakan fizikal, intelek, emosi atau spiritual si anak.

Si ayah ibu perlu pandang anak itu tidak matang

Antara dua pilihan untuk diambil, si ayah boleh menjadi orang yang sabar atau si anak kecil boleh menjadi orang yang sabar. Sabar si ayah boleh membalas, sabar si anak tidak boleh membalas. Sabar si ayah memberi banyak pahala dan ganjaran.

Bagaimana untuk mendapatkan kemampuan itu ? Gelakkan diri sendiri kalau marah kerana ia menunjukkan kita tidak matang. Ia menunjukkan diri amat kebudak-budakan. Perlu tunggu 40 tahun baru jadi matang ? Khuatir ia sudah terlambat dan si anak sempat 'mencedok kuah marah' dari si ayah atau ibu hingga ia dihalakan kepada adik beradik yang lain. 

Tapi kalau 'kuah sabar' yang disuap setiap hari kepada si anak, si anak akan lebih cepat matang untuk bersyukur.

"Salahkah aku menjadi hamba yang bersyukur?" ujar seorang insan yang dibina kematangannya seawal usia. Beliau ialah Nabi Muhammad. Moga kita adalah ibu ayah matang berstatus A+ untuk melahirkan anak soleh yang menjadi imam orang bertaqwa. 

No comments:

Post a Comment