Yang sering dapat berinteraksi dan berjumpa dengan si Raja. Malah digelar sebagai 'dekat dengan si Raja'.
Siapa pekerja yang disegani?
Yang sering dapat berinteraksi dengan bos - atau diberi gelaran atau anugerah mulia oleh kepimpinan syarikat.
Apabila seseorang itu rapat dengan yang mulia, dia akan dianggap mulia - walaupun ada yang tidak berpuas hati. Apabila dekat dengan Yang Maha Mulia, akan dianggap mulia. Apabila dekat dengan Maha Pengasih, akan dilimpahi kasih dan rahmat dari Yang Maha Pengasih. Dari ar-Rahman.
Hamba ar-Rahman itu Anugerah Mulia
Status paling tinggi ialah menjadi seorang hamba kepada Yang Maha Pengasih. Istilah dalam bahasa Arab ialah Abdur-Rahman atau Ibadur-Rahman. Tiada yang lebih tinggi dari status itu. Nabi dipanggil sebagai 'hamba' dalam Surah al-Isra' ayat 1 apabila diangkat perjalanan malam dari Masjidil Haram ke Masjidil Aqsa.
Jurutera? Kalau beliau jurutera yang menjadi hamba ar-Rahman - mulia. Jika hamba kepada kejuruteraannya sendiri - hina.
Doktor? Kalau beliau doktor yang menjadi hamba ar-Rahman - mulia. Jika hamba kepada kedoktoran, bisnes klinik atau aktiviti lain - hina.
Ibu ayah? Kalau beliau ibu atau ayah yang menjadi hamba ar-Rahman - mulia. Jika hamba kepada sifat marah, tidak berpuas hati dengan si anak, tidak bersyukur atau 'ayah emak lebih banyak makan garam' - hina.
Hamba Rendah Ego
Apakah petanda seorang itu hamba? Merendah diri dan rendah ego. Sebagai seorang ibu atau ayah, ego yang tinggi mudah berlaku kerana si anak adalah kecil.
Seorang suami mudah tinggi egonya kerana beliau adalah ketua keluarga dan mencari nafkah.
Seorang isteri boleh tinggi egonya kepada si suami kerana beliaulah yang memasak, membasuh baju dan menguruskan si anak.
Si ibu mudah tinggi egonya kepada si anak kerana beliaulah yang mengandungkannya, membasuh beraknya dan banyak lagi.
Eh namun bukankah si ibu, ayah, suami atau isteri itu adalah satu jawatan? Satu jawatan hadir dengan amanah. Amanah sebagai seorang hamba. Apabila diuruskan amanah tanpa kehambaan kepada ar-Rahman, ia akan menjadi hamba nafsu atau pelbagai 1001 tuhan yang mencabar dan menjadi musuh kepada ar-Rahman.
Petanda rendah ego
وَعِبَادُ ٱلرَّحۡمَـٰنِ ٱلَّذِينَ يَمۡشُونَ عَلَى ٱلۡأَرۡضِ هَوۡنً۬ا وَإِذَا خَاطَبَهُمُ ٱلۡجَـٰهِلُونَ قَالُواْ سَلَـٰمً۬ا
Dan hamba-hamba (Allah) Ar-Rahman (yang diredhaiNya), ialah mereka yang berjalan di bumi dengan sopan santun dan apabila orang-orang yang berkelakuan kurang adab, hadapkan kata-kata kepada mereka, mereka menjawab dengan perkataan yang selamat dari perkara yang tidak diingini; (Surah al-Furqaan 25:63)
Ujian Litmus Keegoan
Salaam itu bermaksud sejahtera. Apabila ada orang yang tidak tahu hakikat sesuatu berujar dan menyatakan sesuatu kepada hamba ar-Rahman, si hamba itu akan membalas dengan kaedah terbaik yang membawa kesejahteraan. Samada cara kasar atau lembut - ia bergantung kepada kondisi untuk membawa kesejahteraan.
Si anak menjerit itu tandanya dia tidak tahu bercakap atau bercakap dengan baik. Itu jahil.
Si anak menangis minta susu - tidak tahu adab dan cara terbaik. Itu jahil.
Si suami marah atau menengking - tidak tahu menghormati si anak atau si ibu. Itu jahil.
Si isteris merajuk tak tentu pasal pada suami dan marah-marah pada si anak. Itu jahil.
Apakah cara membalasnya? Bukan dibalas dengan pukul anak, pukul isteri. Bukan dengan balasan yang lebih teruk dan jahil. Itu cara A,B,C, D dan E. Kita perlukan balasan A+. Ia tahap salaam.
Kalau masih belum dapat balas cara A+, maksudnya diri masih dipenuhi dengan ego. Ia perlu diubati kerana sifat kehambaan itu hilang pada waktu tertentu. Kurang rahmat dari ar-Rahmaan. Kita harapkan si ibu ayah serta jurutera doktor yang ada menjadi hamba ar-Rahman. Ia pasti akan menenteramkan kekalutan yang ada di dunia ini menuju syurga Allah.
No comments:
Post a Comment